Friday, June 22, 2007

Usahawan Noor Arfa Bangga Batik Kembali Popular

Wan Mohamed Ariffin Wan Long berjinak dengan batik semasa menjadi pembantu makmal di Kraftangan Malaysia pada tahun 1970an.

Dengan sedikit pengalaman dan dikuatkan dengan minatnya yang mendalam di bidang perniagaan, Wan Mohamed Ariffin, 50, meletak jawatan untuk menceburi perniagaan batik bertapak di Kuala Terengganu, negeri yang mengasaskan industri batik negara, untuk membina Noor Arfa Batik Sdn Bhd."Di sana (Kraftangan Malaysia) saya telah mempelajari selok belok membuat batik dan dalam tahun 1980 saya memulakan perniagaan batik di Kuala Terengganu," katanya.

Beliau memulakannya secara kecil-kecilan di rumah dengan bermodalkan simpanan RM1,000 dan pinjaman Mara sebanyak RM5,000 bersama isterinya, Noor Hijerah Hanafiah.Selepas 26 tahun, tuanpunya syarikat Noor Arfa Batik itu kini mempunyai sebuah kilang batik di Kawasan Perindustrian Cenderiang, Terengganu dengan 200 orang pekerja, mengeluarkan 150 produk batik."Batik berasal dari Terengganu, jadi adalah lebih mudah sekiranya industri kami bermula dari sana.

Selain daripada mempunyai ramai tenaga kerja yang mahir, barang-barang untuk membuat batik seperti kain dan pencelup juga banyak dan lebih mudah diperolehi di sana," katanya.Noor Arfa Batik kini mempunyai enam cawangan di seluruh negara iaitu dua di Kuala Lumpur, dua di Terengganu, masing-masing satu di Selangor dan Kedah.Keunikan batik Noor Arfa ialah dari segi corak, rekaan dan pembuatannya terutama batik lukisan tangan yang menggunakan canting.

"Kami banyak menggunakan pelukis tempatan yang boleh melukis secara terus ke atas kain, dan ini memberikan identiti tersendiri kepada keluaran batik itu," katanya.Keluaran batik Noor Arfa bukan sahaja diminati orang ramai dan pelancong, dengan rekaan corak terbarunya sering mendapat perhatian media fesyen, tetapi turut menjadi tumpuan selebriti tempatan seperti Siti Nurhaliza dan Erra Fazira, katanya.

Produk Noor Arfa batik ialah dalam bentuk lukisan tangan dan cetakan yang menghasilkan kain fabrik, pakaian lelaki dan perempuan serta cenderamata.Wan Mohamed Ariffin bangga keyakinannya terhadap perusahaan batik ternyata tidak silap sehingga kekal berjaya hingga kini dan ditambah pula dengan keluaran batik kembali popular dan diiktiraf negara.

Malah dengan perkembagan teknologi, sejak 10 tahun lepas syarikat itu menggunakan laman webnya, www.noor-arfa.com untuk mengembangkan pasaran ke luar negara, katanya.Atas daya usahanya, Wan Mohamed Ariffin semalam dipilih sebagai pemenang pertama dua anugerah Mara -- Anugerah Usahawan Cemerlang dan Anugerah Usahawan Berjaya.

Beliau menerima sijil penghargaan serta wang tunai berjumlah RM15,000 daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamed Khaled Nordin.

1 comment:

Nazira said...

Alhamdulillah.. sama2 kita bantu industri batik negara kita.. sama2 kita bantu usahawan batik agar kembali segar sehingga peringkat antarabangsa...

www.nazira.biz