Monday, June 18, 2007

Pengusaha batik

TENGKU ARMAN HARIS

Negeri Terengganu terkenal dengan industri penghasilan kraftangan batik yang berkualiti tinggi. Industri ini turut mengetengahkan bakat salah seorang pengusaha Pekak yang paling berjaya dan disegani di kalangan komuniti orang Pekak dan masyarakat Kuala Terengganu.

Pengusaha batik Pekak yang dimaksudkan ialah Tengku Arman Haris bin Tengku Ismail. Beliau adalah bekas penuntut Sek Men Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, Sek Men Ibrahim Fikri Kuala Terengganu dan Sek Men Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang.

Pada tahun 1990 Tengku Arman menamatkan pendidikan vokasional dan bekerja sebagai pengimpal di bengkel kenderaan di Jalan Segambut, Kuala Lumpur.

Pada tahun yang berikutnya, beliau kembali ke negeri kelahirannya untuk mengambil alih tugas ketua keluarga berikutan kematian arwah ayahnya yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Namun demikian ia tidak melemahkan kekuatan semangat Tengku Arman untuk membantu menyara hidup keluarganya. Beliau terpaksa berkorban untuk meninggalkan bidang kimpalan yang merupakan kemahiran utama bagi dirinya disebabkan oleh peluang kerjaya dalam industri batik yang luas di Negeri Penyu.

Walaupun kekurangan pengalaman dalam industri batik, Tengku Arman diterima bekerja dengan bengkel "Romi Batik" di Jalan Cendering, Kuala Terengganu. Berkat daripada kesabaran dan kerajinan beliau yang mempelajari pelbagai teknik pembuatan batik selama tiga tahun, akhirnya beliau lebih yakin dan mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam keusahawanan pembuatan batik.Atas dorongan yang kuat daripada ibu dan keluarganya, Tengku Arman mengeluarkan wang saku sendiri untuk mendirikan bangsal berhampiran dengan rumahnya di Jalan Bukit Tunggal. Di bawah bangsal yang uzur itu, pembuatan batik dimulakan secara kecil-kecilan dan menghasilkan pelbagai produk batik seperti kain batik, baju kelawar, baju kurung dan baju batik.

Kebolehan beliau sebagai pengusaha batik yang berbakat mendapat perhatian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu. Pada tahun 1996, beliau mendapat bantuan kewangan sebanyak RM 2,000 daripada JKM untuk memperkembangkan keusahawanannya dan membesarkan bengkel tersebut. Produk-produk batik yang direkanya juga telah dipasarkan ke negeri-negeri lain.

Selain daripada itu, Tengku Arman juga aktif dalam Persatuan Kebajikan Orang Cacat Pendengaran Terengganu (PKOCPT) sebagai Presiden PKOCPT yang pertama sejak PKOCPT ditubuhkan pada tahun 2001. Kecemerlangan kepimpinan beliau lebih terserlah apabila PKOCPT diiktiraf oleh JKM sebagai persatuan OKU terbaik peringkat negeri Terengganu sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya peringkat negeri pada tahun 2003.

(Sumber: http://www.mecd.gov.my/)

No comments: