Friday, May 25, 2007

Lagi Kisah Jutawan malaysia

EMPAT puluh ahli perniagaan terkaya di Malaysia kini mempunyai kekayaan tergabung bernilai AS$43 bilion (AS$1 bersamaan RM3.38), meningkat 65 peratus daripada AS$26 bilion pada tahun lalu, demikian menurut penyenaraian orang terkaya Malaysia 2007 oleh Forbes Asia.

Lapan pendatang baru yang disenaraikan termasuk Datuk Mokhzani Mahathir dengan kekayaan bernilai AS$220 juta. Jutawan harta, Ong Beng Seng, yang tinggal di Singapura dan orang yang bertanggungjawab membawa perlumbaan Formula One ke republik itu, bukan saja berjaya menyertai senarai itu, malah menjadi pendatang baru terkaya dengan kekayaan bernilai AS$580 juta.

“Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien, 84, kekal sebagai orang terkaya Malaysia dengan kekayaan bernilai AS$7.6 bilion, meningkat daripada AS$5.6 bilion tahun lalu,” kata Forbes. Kumpulan syarikatnya, Kuok Group, mempunyai kepentingan dalam pelbagai bidang dari perkapalan, hartanah hingga kepada media. “Ia akan menggabungkan kepentingannya yang besar dalam sektor minyak sawit di Malaysia dan Indonesia dengan Wilmar International, Singapura yang dikendalikan anak saudaranya,” kata majalah itu. Senarai orang terkaya Malaysia itu disiarkan dalam majalah Forbes Asia terbitan 4 Jun yang boleh didapati di pasaran minggu ini.

Mokhzani menduduki tempat ke-28 dalam senarai itu manakala Ong di tempat ke-12. Menduduki senarai kedua terkaya dengan kekayaan bernilai AS$7.4 bilion atau 61 peratus lebih tinggi daripada kekayaannya bernilai AS$4.6 bilion tahun lalu ialah Ananda Krishnan yang baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk menjadikan syarikat telekomunikasinya, Maxis Communications Bhd, milik persendirian melalui urus niaga bernilai AS$5 bilion. Beliau diikuti tokoh kasino Genting, Tan Sri Lim Goh Tong, dengan kekayaan AS$4.3 bilion, meningkat daripada AS$1.5 bilion tahun lalu. Forbes berkata, 10 orang terkaya Malaysia menguasai 80 peratus kekayaan yang dipaparkan dalam senarai itu dengan nilai kekayaan kolektif AS$35 bilion, meningkat 63 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ada lapan pendatang baru, kebanyakannya berjaya ekoran tawaran atau keuntungan yang diraih dalam pegangan awam baru-baru ini.“Mokhzani menyertai senarai orang terkaya ini selepas menjadikan syarikat tenaganya, Kencana, syarikat senaraian awam Disember lalu,” katanya. Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah menduduki tempat ke-25 dalam senarai itu dengan kekayaan bernilai AS$228 juta dan menjadi wanita kedua dalam senarai berkenaan selepas Puan Sri Chong Chook Yew yang menduduki tempat ke-18 dengan kekayaan bernilai AS$320 juta.

Forbes berkata, kekayaan yang dicipta itu dirangsang ekonomi yang berkembang pesat berikutan langkah kerajaan kebelakangan ini termasuk mengurangkan cukai dan pasaran saham yang kukuh, dengan peningkatan lebih 20 peratus setakat ini dan pasaran ketiga terbaik prestasinya di Asia tahun ini selepas China dan Vietnam. Dalam terbitan 4 Jun itu, majalah berkenaan turut menyiarkan rencana mengenai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Tony Fernandes yang menduduki tempat ke-24 dalam senarai itu dengan kekayaannya bernilai AS$230 juta. — Bernama


Petikan Dari Harian Metro Tarikh 25hb Mei 2007

No comments: