Thursday, June 14, 2007

Pengusaha Kilang Perabot & Aluminium

RAZANI BIN RAMLI

Tanggal 25 Ogos 1966, di hening subuh yang sunyi lahirlah seorang bayi lelaki yang comel dari pasangan Raunah Che Ismail dan Ramli Salleh. Di saat kelahiran, timbul sedikit masalah di mana bayi berada dalam keadaan songsang. Namun akhirnya bayi dapat dilahirkan juga dengan selamat dan sihat. Pasangan tersebut telah menamakan bayi mereka dengan nama Razani yang dilahirkan sempurna sifat fizikalnya.

Betapa gembiranya hati seorang ibu yang telah selamat melahirkan anak yang kelima. Seperti juga anak-anak lain Razani dibesarkan dengan penuh kasih sayang walaupun mereka bukan dalam golongan orang berada.

Namun semasa Razani berumur tiga tahun, beliau masih lagi tidak dapat menyebut sepatah perkataan yang lazimnya dapat disebut oleh kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Beliau juga tidak boleh mendengar. Hal ini menimbulkan tanda tanya Ibu dan ayah yang mulai bimbang dengan keadaan anak mereka, Razani dibawa ke hospital untuk diperiksa dan doktor mengesahkan beliau mengalami sedikit kecacatan iaitu tidak boleh mendengar dan bercakap.
Betapa hibanya hati seorang ibu yang mengandungkannya sembilan bulan sepuluh hari setelah mengetahui hal tersebut, namun hakikat ini harus diterima dengan hati yang tabah dan bersyukur. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan mengasihi hambanya yang sabar.

Insan mana yang tidak ingin melihat anaknya sempurna dan insan mana yang tidak mahu melihat anaknya gembira dan lihat seperti kanak-kanak normal yang lain? Walaupun dengan sedikit kecacatan tidak bermakna beliau tidak diberikan kasih sayang seperti adik-beradik yang lain, malah beliau diberi lebih perhatian oleh ayah dan ibu serta saudara mara tercinta kerana beliau dikategorikan dalam kanak-kanak yang istimewa.

Semasa berumur tujuh tahun, Razani dihantar ke sekolah Kebangsaan Wakaf Mek Zainab untuk mendapat pendidikan akademik seperti kawan-kawannya yang lain. Beliau terpaksa bergaul dengan kanak-kanak normal kepada ibu dan bapanya tidak dapat mengesan sekolah pendidkan khas, selang beberapa bulan kemudian barulah Razani ditempatkan dengan kanak-kanak khas di sekolah yang sama. Sememangnya sukar untuk beliau menguasai mata pelajaran yang diajar oleh guru dan agak sukar juga untuk beliau membaca dan menulis. Beliau terpaksa meluangkan masa yang lama untuk tujuan tersebut.

Di usia remaja beliau merupakan seorang yang agak agresif dan nakal. Suka mengganggu kawan-kawan dan suka bergaduh. Namun ketika beliau berumur dalam lingkungan dua belas\n tahun, beliau mula belajar solat dan ilmu agama daripada ibunya. Beliau juga banyak menerima didikan agama daripada kedua orangnya. Pada peringkat menengah pula beliau telah dihantar ke Sekolah Pendidikan Khas Tanjung Bunga Pulau Pinang untuk menimba ilmu pengetahuan ke peringkat yang lebih tinggi. Di sana beliau dikejutkan dengan budaya dan suasana komunikasi yang agak berbeza. Beliau dapati banyak bahasa isyarat yang mereka gunakan berbeza dengan bahasa isyarat yang biasa beliau gunakan. Walaubagaimanapun beliau cuba untuk memahami dan mengambil kesempatan untuk mempelajarinya daripada mereka. Dalam tempoh tersebut juga beliau banyak menimba pengalaman dan pengetahuan samada dalam bidang akademik dan pertukangan. Setelah tamat tempoh empat tahun di sana, beliau balik semula ke Kelantan.

Pada usia 18 tahun, Razani memulakan karier dengan menolong ayahnya menguruskan kilang tembakau, Sesunggunya sejak kanak-kanak lagi kehidupan keluarga beliau agak susah dan bapa\n beliau terpaksa membuat apa saja pekerjaan untuk menampung keluarga seramai enam orang. Pada tahun 1989 keluarga beliau telah menubuhkan sebuah kilang perabut dan ingin menyerahkan kepada beliau untuk meguruskannya namun ditolak kerana alasan yang diberikan beliau tidak cukup pengalaman dan tidak begitu yakin dengan kebolehannya. Jadi beliau memilih untuk bekerja sahaja sebagai tukang perabut mulai tahun 1990 di kilang perabut milik keluarganya yang terletak di Bachok. Dengan cara ini beliau dapat mempertingkatkan lagi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang tersebut. Di sana jugalah beliau bertemu dengan Azura Mustapha, isterinya yang tercinta. Mereka mendirikan rumahtangga pada tahun 1993 dan mempunyai 5 orang cahaya mata.

Setelah yakin dengan kebolehannya beliau berhasrat untuk membuka kilang perabut sendiri berdasarkan pengalaman 15 tahun yang lalu. Pada awalnya ibu dan ayah tidak yakin dengan kebolehan beliau menguruskan kilang perabut sendiri dan tidak mendapat sokongan daripada keluarga. Namun berkat usaha dan keyakinan yang ada dalam diri beliau akhirnya Raza Furniture telah berjaya ditubuhkan pada tahun 2001, Dengan cara ini beliau dapat buktikan bahawa orang pekak juga mampu berdikari dan mampu bersaing dengan warga normal. Di samping itu, beliau juga berhasrat membantu kawan-kawan yang senasib dengannya dengan menyediakan peluang pekerjaan. Sehingga sekarang sebilangan besar dari pekerjanya terdiri daripada orang pekak.

Semasa menguruskan perniagaan banyak juga cabaran yang terpaksa beliau hadapi termasuklah masalah modal tidak mencukupi, masalah komunikasi dan sebagainya. Walaubagaimanapun berkat usaha gigih beliau di samping mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan masalah tersebut dapat diatasi. Dengan kebolehen menguruskan perniagaan sendiri beliau bersaing dan berjaya membuka mata masyarakat bahawa orang pekak boleh maju.

Sesungguhnya beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh ke\n depan dan sentiasa memikirkan kemajuan diri. Sehinggalah tercetus idea beliau untuk membuka kilang aluminium yang akan bergabung dengan perabut atas nama Sendirian Berhad. Dengan cara ini beliau dapat membesarkan lagi perniagaan yang dirasakan tidak cukup untuk bergelar usahawan yang berjaya. Dengan sokongan Keluarga dan kawan-kawan beliau berjaya menubuhkan Syarikat Razani Capital & Resources (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Kampung Tapang pada awal Mei 2003. Dengan ini memberi peluang kepada beliau menimba lebih banyak pengalaman dan melangkah lebih jauh lagi dalam dunia perniagaan. Di samping itu dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang pekak.

Selain dari menguruskan kilang, beliau juga aktif bersukan. Salah satu sukan yang sangat diminatinya ialah sukan tenpin boling dan bola sepak. Pada masa lapang beliau selalu menghabiskan masa di Perdana Superbowl atau di padang bola sepak bersama kawan-kawan yang lain. Razani juga memikul dan tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Orang Cacat Pendengaran Negeri Kelantan sejak ia ditubuhkan pada tahun 1996 sehingga sekarang dan selaku Bendahari Persekutuan Orang Pekak Malaysia bagi sesi 2002 hingga 2004. Begitu banyak jasa beliau dalam membangunkan persatuan dan menjaga kebajikan orang yang senasib dengannya. Sesungguhnya beliau tidak mengharapkan apa-apa balasan dan hanya menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas.

Kini segala usaha beliau telah banyak membuahkan hasil, alhamdulillah. Dengan usaha dan kegigihan yang tidak kenal putus asa tidak mustahil suatu hari nanti Razani akan tampil ke depan sebagai usahawan yang berjaya. Insyallah. (Sumber: Cik Noor Haseken P Rameli)

...bersambung


petikan dari sahabat saya, Pengurus Ideal Enterprise

No comments: